Wednesday, May 13, 2009

WAWANCARA TOK GURU

KEWUJUDAN PAS dalam lanskap politik negara, tidak lagi dikesampingkan. Selepas 54 tahun PAS mampu duduk sama tinggi dengan parti utama. Maka tidak hairanlah setiap kali menjelang muktamar, pelbagai polemik dicetus media. Ia bertujuan memperlihatkan kecamuk PAS dari luar. Antara isu yang diungkit berkaitan golongan ulama, profesional dan unity government. Bagi memahami situasi sebenar ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di pejabatnya Selasa lalu.

Nampaknya isu golongan ulama dan profesional dalam PAS diperdebatkan secara terbuka di media sekarang. Bagaimana Tuan Guru melihat situasi ini?

Sepatutnya tidak berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional. Tetapi pengasingan berlaku juga hasil daripada penjajahan barat yang mengasingkan agama dan politik. Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis.

Penjajah mengasingkan agama dan politik. Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Dan apabila penjajah pulang negara bekas jajahan yang tidak kuat pengaruh agama terpengaruh juga menerima agama lain dan politik lain. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan.

Dalam al Quran Allah Taala menyebut dalam surah Fathir ayat 27 yang bermaksud Allah turunkan air dari langit sehingga keluar buah-buahan dari perut bumi dengan bermacam warna dan beraneka rasa. Dan ayat 28 pula bermaksud orang yang gerun kepada Allah ialah ulama. Ini bermakna ulama tidak bererti hanya mengajar fiqah sahaja tetapi pandai juga mentadbir. Misalnya air yang diturunkan dari langit ini ada kaitan dengan ilmu astronomi.

Ulama kena tahu kedudukan langit. Hujan turun dari langit ke bumi. Air yang turun ditampung oleh udara menyebabkan hujan yang turun bertitik-titik dan tidak segumpal jatuh di atas kepala kita. Ini bermakna ulama dan profesional adalah orang yang sama.

Di Kelantan kita banyak buka pengajian agama. Dan sekarang kita buat Maahad Tahfiz Sains, di mana anak kita hafal al Quran dan tahu ilmu sains. Kita hendak lahirkan pelajar yang ada ilmu agama dan sains. Dan 20 atau 30 tahun akan datang penghulu kampung sehingga ketua jajahan dan menteri besar adalah mereka yang hafal al Quran dan tahu bidang sains.

Pandangan sesetengah pemimpin menyebabkan penyokong di akar umbi tidak faham?

Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama gabungkan ulama dan profesional. Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini. Ada sesuatu macam kena kecek (pengaruhi). Mungkin mereka terpengaruh dengan pihak lawan.

Di Kelantan PAS jauh ke hadapan berbanding dengan Umno untuk menawan hati rakyat khasnya nonMuslim. Kita sebut orang Melayu, Cina, India, Siam adalah serupa kerana kita manusia belaka. Maka tidak timbul hendak letak kelompok-kelompok tertentu. Dalam solat kita sebut ‘Maliki Yaul Middi’ - pembalasan di akhirat kelak dia tidak kira perlembagaan Malaysia ke, Inggeris, Greek tua atau apa-apa sahaja. Allah Taala hanya kira perlembagaan yang Dia buat iaitu al Quran.

Ulama mesti tahu segala-galanya. Orang yang hendak pimpin sama ada hendak sebut nama Ikwan, Jemaah Islam ke atau apa sahaja perlu tahu agama dan agama itu bermaksud tahu juga akademik. Akademik bermaksud menerangkan kekuasaan Allah. Bagaimanapun proses Allah menurunkan air alim ulama kena tahu. Dan air menyuburkan pokok sehingga mengeluarkan buah yang bermacam-macam rasa. Saya tidak faham kenapa hendak kecoh sekarang.

Kebiasaannya ulama dianggap hanya mereka yang berpendidikan agama?

Itu fahaman lama ketika agama Islam masuk ke Tanah Melayu, orang yang mengajar agama tidak banyak tahu ilmu akademik. Sumber ilmu yang diambil di Makkah tidak banyak bidang akademik. Bagaimanapun sekarang di Makkah dan di mana sahaja ada bermacam-macam ilmu akademik. Al Quran dia hafal dan akademik pun tahu. Generasi baru sekarang menerajui gerakan Islam.

Apa pula maksud profesional?

Pada tanggapan saya orang yang belajar ilmu akademik. Akademik itu ilmu Allah juga. Siapa rajin dia dapat. Di Kelantan pada peringkat awal institusi pondok mengajar masyarakat pandai agama. Selepas itu berkembang menjadi Jami’ Merbau di mana ilmu pengajian lebih banyak berbanding pondok. Selepas itu ditingkatkan lagi menjadi Maahad Muhammadi dan perkembangan ilmu semakin meluas. Secara jelas di sini, apabila disebut ulama akan termasuk sama bidang akademik.

Bolehkah dikatakan pakar ekonomi dan bidang lain dikenali sebagai ulama memandangkan pengetahuan agama pun ada?

Kalau tidak tahu Islam, tidak bolehkan hendak dikatakan sebagai ulama. Mereka yang sokong PAS tetapi tidak ada ilmu agama, kita tidak boleh lantik sebagai pemimpin. Misalnya kalau kita hendak bawa kapal di laut, bukan sekadar pegang stereng sahaja tetapi kena tahu pelbagai perkara mengenai laut. Dia kena ada pengetahuan mengenai awan, cahaya matahari dan keadaan laut. Orang yang hendak jaga negeri mesti ada asas agama.

Di Kelantan ketika kita mula-mula mentadbir, saya minta pindahkan wang daripada bank riba ke Bank Islam. Cara macam mana hendak buat itu orang belajar bidang akademik yang lakukan. Orang hendak jadi Menteri Besar kena tahu ilmu akademik dan agama.

Barisan anggota Exco yang Tuan Guru lantik sekarang dikategori sebagai ulama?

Katakanlah orang itu tidak belajar di pondok, tetapi dia duduk lama dengan saya. Dia tengok perangai saya, dia dengar ucapan saya, dan hadir usrah bersama saya, macam mana boleh dikatakan tidak belajar agama. Tidak semestinya belajar di pondok baru boleh dikatakan tahu asas agama. Mereka semua sudah lama bekerja dengan saya. Sepanjang perkhidmatan itu mereka boleh menimba ilmu agama. Jadi boleh dikategorikan mereka sebagai ulama juga.

Apa nasihat Tuan Guru mengatasi percanggahan pandangan sekarang?

Saya nasihatkan kita kembali kepada asal. Ini kerana agama ada jalinan dengan akademik. Dalam Islam ada disebut agama dan daulah. Ada pun fahaman yang mengatakan agama lain dan politik lain adalah dibawa oleh penjajah.

Kita cuba usaha ranapkan pengaruh penjajah dari sehari ke sehari. Tidak ada pasal hendak kita timbulkan isu tersebut. Kita telah lama memilih pemimpin yang ada asas agama. Sekarang nampak kejayaan apabila orang bukan Islam juga sudah tertarik dengan PAS. Orang Cina yang sokong Pakatan Rakyat sudah pandai beri salam, sedangkan MCA, MIC sudah lama berkawan dengan Umno, namun mereka tidak memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Generasi orang bukan Islam sekarang sudah ramai berpelajaran. Dan Islam dari awal lagi menyarankan supaya menuntut ilmu. Islam sesuai dengan akal fikiran manusia.

Sekarang ramai pemimpin tampil merebut jawatan dalam PAS, tidakkah itu boleh menimbulkan masalah?

Mereka yang menawar diri untuk bertanding kerana sudah lama berjuang dalam PAS. Mereka tahu asas-asas Islam. Dan kita belum dengar ada orang mengkritik calon-calon tersebut tidak sembahyang atau engkar ajaran agama. Jadi terpulang kepada perwakilan bagi memilihnya. Saya suka orang tawar diri untuk berkhidmat kepada gerakan Islam.

Pada pandangan Tuan Guru wajarkah jawatan utama dikekalkan?

Kita beri peluang kepada kawasan untuk mencalon dan memilih kecuali kalau ada masalah selepas muktamar kita wujudkan peraturan khusus.

Tidakkah boleh menimbulkan perpecahan dalam PAS?

Kita hendak cari manusia yang tidak berpecah tidak ada. Allah telah sebut sebelum Nabi Adam dibawa turun ke bumi di mana Allah Taala menyebut ‘Hai Adam apabila kamu turun ke bumi kamu akan bertengkar sesama sendiri. Bagaimanapun bagi mana-mana orang yang turut hidayah Aku akan senang lenang tanpa ada sebarang masalah.’ Sekarang apabila perwakilan ramai kita memilih menggunakan kertas undi dan tidak lagi angkat tangan.

Sebelum ini media harian menganggap wujud dua kelompok dalam PAS iaitu pro Endorgan dan konvensional. Benarkah demikian?

Itu sekadar tanggapan yang dimainkan media hendak lariskan suratkhabar mereka. Ada sesetengah wartawan menulis dengan hasrat mahu melaga-lagakan, dan ada juga wartawan yang lebih berhati-hati kerana mengambil sikap tanggungjawab di dunia dan akhirat.

Dalam PAS hanya ada satu kumpulan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Perjuangan kita di atas dunia hendak daulatkan Islam dan di akhirat mahu ditempatkan oleh Allah Taala ke dalam syurga.

Baru-baru ini timbul dakwaan dalam blog kononnya Tuan Guru dinasihatkan oleh pembantu yang cuba melagakan dengan Presiden. Sejauh mana kebenarannya?

Saya sudah tegur orang terbabit. Hendak cari orang yang tiada silap ini tiada. Orang yang tiada silap langsung ialah kaki lepak yang tidur sepanjang masa. Kesilapan tersebut maka agama ajar suruh nasihat menasihati antara satu sama lain.

Bagaimana pula dengan isu unity government?

Tidak timbul lagi sekarang kerana Presiden telah menarik balik cadangan tersebut.

No comments: